Visitor


Contact Me


Email : be_baby_face@yahoo.com

Followers

Friday, September 2, 2011

Petikan dari Bernama - Perniagaan Internet

Hari ni merupakan raya ke-4. Seperti biasa aktiviti beraya, ziarah menziarah masih diteruskan. Bezanya kami sekeluarga hanya di rumah, menunggu tetamu yang datang berkunjung ke rumah kami. Ini kerana isteri saya masih lagi berpantang, masuk hari yang ke-39. Walaubagaimanapun masih lama lagi isteri saya berpantang kerana bukan bersalin normal, tapi pembedahan. Dan dalam masa yang sama, sudah hari yang ke-39 juga anak kami Nurfatihah Humairah meninggalkan kami.

Walaubagaimanapun di petang Jumaat ini, sedang kami berehat-rehat, terlintas pula hendak membuka laman Bernama. Dan terjumpa pula artikel mengenai perniagaan internet di kalangan surirumah yang berkelulusan tinggi.

Boleh baca sendiri artikel tersebut



02 September, 2011 10:25 AM

Perniagaan Menerusi Internet Pikat Suri Rumah Berkelulusan Tinggi

Oleh Siti Nuraziah Zainal Alam

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Perniagaan secara online yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan semakin menarik minat ramai suri rumah berkelulusan tinggi yang kurang mempunyai masa atau peluang untuk berniaga secara konvensional.

Malah, ada antara mereka yang memegang ijazah sarjana, memilih perniagaan sebegini memandangkan ia juga memberikan mereka lebih banyak masa untuk bersama keluarga khususnya anak-anak yang kecil atau sedang membesar.

Tinjauan Bernama mendapati jenis perniagaan menerusi Internet yang paling mendapat sambutan usahawan wanita muda adalah perkhidmatan dan produk kecantikan seperti kanta sentuh dan alat solek; makanan seperti kek; produk kesihatan seperti multivitamin serta
pakaian termasuk untuk lelaki.

Kebanyakan mereka menggunakan blog atau laman sosial untuk mempromosi, menjual dan mengambil tempahan daripada pelanggan.

Hadhatina Abdul Halim, 30, suri rumah tangga berkelulusan Diploma Teknologi Maklumat dari Universiti Kuala Lumpur, berkata pendapatan bulanan kasar yang diperoleh hasil daripada penjualan produk kesihatan menerusi blog miliknya mampu mencapai sehingga lima angka
setiap bulan.

Hadhatina, yang mempunyai seorang anak berumur setahun empat bulan dan sedang mengandung anak kedua, telah melibatkan diri dalam bidang perniagaan secara online ini sejak setahun lepas, hasil daripada minat beliau menulis blog.

"Pada mulanya blog saya lebih kepada perkongsian pengalaman hidup dan juga hobi saya ketika itu.

"Namun segalanya berubah apabila saya mula tertarik dengan sejenis produk kesihatan untuk para ibu dan melanggannya secara online.

"Bermula dari saat itu, saya menjadi pelanggan tetap kepada produk terbabit dan turut menjadi pengedar," katanya.

Hadhatina, yang berasal dari Perak dan kini menetap di Shah Alam, berkata antara cabaran besar yang perlu ditempuh ialah mendapatkan kepercayaan pelanggan terutama daripada segi kualiti produk yang ditawarkan.

"Namun, senario perniagaan pada hari ini berbeza dari perniagaan zaman silam di mana peluang untuk golongan wanita berjaya dalam bidang perniagaan hari ini adalah lebih baik atas beberapa faktor termasuk teknologi," katanya.

Siti Aisyah Agus, 26, seorang suri rumah tangga berkelulusan Diploma Teknologi Pengurusan (Perakaunan), Universiti Teknologi Malaysia yang menjual kanta sentuh import dari Korea, berkata perniagaan beliau bertitik tolak daripada minat untuk berniaga sejak kecil lagi.

"Perniagaan secara online ini lebih mudah terutamanya bagi suri rumah tangga seperti saya yang perlu membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

"Saya tak perlu fikir kos yang tinggi, cukup dengan adanya Internet, boleh berniaga terus dari rumah," katanya yang berasal dari Johor dan sedang menanti kelahiran anak pertamanya November ini.

Siti Nurzakiah Zainal Alam , 29, suri rumah tangga berkelulusan sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkata jika hati mempunyai niat yang baik serta tak mementingkan keuntungan semata-mata, insyaAllah apa yang dibuat
akan berkualiti dan diyakini.

"Dorongan suami dan juga ibu bapa membantu saya untuk meneruskan perniagaan dan jika tiada aral melintang, saya bercadang untuk membuka kedai kek pada masa akan datang," katanya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.

Nurzakiah, yang berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Sabah, menjalankan perniagaan kek melalui blog dan laman sosialnya.

"Untuk berjaya dalam perniagaan seperti ini tidak mustahil, jika ada minat dan sikap tidak mudah putus asa," katanya.

Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia, Faridah Jabbar, menyifatkan aktiviti perniagaan menerusi Internet ini sebagai satu langkah yang positif bagi kaum wanita terutamanya suri rumah.

"Ia merupakan tapak awal untuk sesuatu perniagaan itu berkembang. Bagaimanapun kita perlu lihat balik sama ada pertambahan itu disebabkan minat ataupun kerana terikut-ikut dengan trend berniaga menerusi internet," katanya kepada Bernama.

Faridah berkata keinginan untuk berniaga haruslah datang dari hati dan bukan kerana untuk mendapatkan keuntungan semata-mata.

"Terdapat juga segelintir usahawan online ini yang mengamalkan sikap 'one-time-go' dan tidak mengambil inisiatif membina hubungan mesra pelanggan.

"Mereka ini jenis kalau dah dapat duit sahaja, terus hilang dan tak cuba nak tahu mengenai kepuasan hati pelanggan terutamanya dari segi mutu barangan serta perkhidmatan pelanggan," katanya.

Situasi ini hanya akan menjejaskan imej usahawan lain yang benarbenar serius dalam menjalankan perniagaan secara online, kata Faridah.

"Usahawan wanita muda tidak harus takut dengan saingan perniagaan yang ada dan perlu bersifat kreatif dalam memastikan sesuatu perniagaan itu berjaya dan tahan lama," katanya.

-- BERNAMA





Salah seorang usahawan internet yang dinyatakan dalam artikel tersebut adalah isteri saya. Hehehe... Yang penting isteri saya akan terus buat kek untuk kami anak beranak makan. Tak perlu nak beli di kedai kek.

Apa pun tahniah diucapkan buat isteri saya atas pencapaian yang dicapai hingga hari ini.

0 comments