_______________________________________________________
Sebenarnya saya bercadang nak berhenti pada post yang terakhir, Post ke 5. Cuma saya fikir, mungkin orang tertanya-tanya, apakah kesudahan pada kes saya ini? Adakah sudah kembali seperti sedia kala, seperti sebelum kejadian ini berlaku? Atau adakah saya akan berterusan mengenangkan kejadian tersebut, terus merintih dan menangis tiap hari, tiap malam, tiap waktu?
Mungkin pada sesetengah orang akan menilai seperti saya tidak redha dengan takdir yang ditentukan oleh Allah ke atas keluarga saya. Mungkin ada juga yang menilai, begitu cepatkah saya sembuh, hingga dapat membuat kek-kek dan mengupdatekannya ke dalam blog saya? Jawapan tidak semudah itu..
Bagi saya, sukar untuk kita sebagai hamba Allah yang lemah untuk menyatakan samada kita sudah redha atau tidak. Mungkin, pada sesetengah orang, kita nampak tidak redha. Mungkin, pada sesetengah orang, kita nampak begitu akur dengan kehendakNya. Yang lebih tahu, hanya Dia yang Maha Mengetahui..
Saya tidak menyesali atas apa yang pernah berlaku pada saya. Malah saya bersyukur. Kerana dengan kajadian ini, membukakan mata saya, hati saya, untuk lebih memahami situasi teman-teman yang lain yang pernah juga kehilangan seperti saya. Tidak kira, setelah, semasa, atau sebelum dilahirkan..
Pada saya, saya anggap diri saya beruntung. Kerana walaupun anak saya meninggal dalam perut, terkeluar dari rahim, namun alhamudulillah, dia telah dilahirkan dengan cukup sifat tubuh badannya. Tidak semua wanita yang begini nasib anaknya. Terkenang saya akan beberapa orang teman yang melahirkan anak yang kurang upaya. Nauzubillah..
Saya juga beruntung, kerana anak saya tidak menghadapi masalah seperti jantung berlubang, paru-paru tidak matang, atau kekurangan yang lain-lain. Sedangkan berapa ramai wanita di luar sana yang melahirkan anak dalam keadaan dia tidak cukup bulan, tidak sempurna tubuh badannya..
Saya bersyukur, kerana saya telah merasai nikmatnya mengandung, melahirkan anak yang sihat, walau dalam keadaan yang macam mana pun. Situasi saya juga membuatkan saya lebih memahami, ibu-ibu atau bakal-bakal ibu yang mengharapkan cahaya mata tetapi belum ada rezeki. Betapa hebatnya dan tabahnya hati wanita-wanita ini, menerima dugaan Allah bertahun-tahun..dan belum tentu dikurniakan rezeki anak..
Saya juga boleh memahami, bukan mudah untuk menerima tomahan, ejekan, gurauan orang, yang bertanyakan cukupkah dengan seorang anak saja sekarang? Kerana saya juga tidak mustahil akan berkeadaan begitu memandangkan keadaan fizikal saya tidak sekuat dulu. Namun saya akan cuba bersabar, dan menyatakan, mungkin belum ada rezeki lagi.. Syukur alhamdulillah, biarpun begitu, saya masih ada lagi anak yang hidup, sihat, dan cergas..
Saya bersyukur, walaupun anak saya tidak sempat menatap kedua-dua wajah ibubapanya, merasai sentuh belai kami, namun berapa ramai wanita di luar sana yang telah kehilangan anak sewaktu mereka sudah besar? Betapa beratnya hati wanita-wanita ini menanggung kesedihan, kepiluan, menatap baju-baju, barang peninggalan arwah..
Saya juga bersyukur, kerana ujian ini lebih merapatkan hubungan saya dan suami saya. Walaupun perit menerima hakikat anak kami telah meninggal, setelah berbulan-bulan kami menunggu kehadirannya, suami saya masih bersama saya. Tidak pernah menyalah atau menuduh saya bahawa sayalah penyebab kematian anak kami. Bukan saya tak pernah dengar cerita, anak meninggal semasa dilahirkan dan si ibu dituduh penyebab anaknya mati, lalu ditinggalkn oleh si suami, membiarkannya keseorangan di bilik bersalin. Si isteri masa itu sudahlah terpaksa menanggung perasaan bersalah, anaknya sudah tiada, ditanggungnya juga sakit bersalin. Nauzubillah..
Alhamdulillah, disebabkan kejadian ini, saya lebih memahami kaum-kaum ibu dan bakal-bakal ibu, yang mengalami bermacam-macam masalah. Bertapa besarnya kuasa Allah. Sesungguhnya, musibah yang menimpa diri yang kerdil ini telah membuka ruang untuk saya melihat dan merasai sesuatu keadaan dari sudut yang lain. Mudah-mudahan, saya akan terus istiqomah dan muhasabah diri ini, kerana bukan kita sahaja yang mengalami kesusahan dan ujian yang berat. Ada lagi yang jauh lebih berat tanggungannya dari kita..
SubhanAllah, Maha Suci Allah. Syukur pada Mu Ya Allah, kerana musibah ini menjadikan saya terasa beban yang ditanggung lebih ringan, jika hendak dibandingkan dengan mereka-mereka semua..
Wahai wanita-wanita, lelaki-lelaki di luar sana.. Usahlah dikau membuatkan hati wanita-wanita ini terguris dek gurauan yang tidak kena tempat. Kerana sesungguhnya wanita-wanita ini lebih hebat, lebih tabah dalam mengharungi hidup mereka dengan sabar. Bukan mudah hati yang lemah menanggung bebanan yang begitu berat seorang diri. Bantulah mereka, berikan sokongan moral pada mereka. Kerana mungkin mereka ini jauh lebih hebat, tabah dari kita dalam menerima ujian dalam hidup...
1 comments
Salam....saya juga turut tersentuh dengan cerita anda dan isteri...sekarang saya mengandung 36 minggu 4 hari. Sungguh...isteri anda mahupun anda mmg tabah. Untuk pengetahuan anda, sekarang saya mengandung anak ya ke3 juga. Alhamdulillah...setakat ini saya dan kandungan(Mohd. Darwish Hadeef b. Rosman) sihat walaupun saya mengalami diabetes semasa mengandung. Jarak kandungan sekarang dengan terdahulu adalah 12 thn. Tidak merancang, cuma belum Rezeki. Alhamdulillah, berkat sabar...saya mengandung lagi....hanya Allah yang tahu...bila saya dapati diri saya hamil. Suami dan saya turut menitiskan air mata tanda gembira dan keputusan tersebut. Doakanlah...semoga kandungan saya selamat. Saya turut bersimpati dengan nasib anda...malah saya membaca blog anda juga sambil menangis...saya amat memahami kehilangan anda...saya doakan anda dan keluarga sentiasa bahagia dan dilindungi Allah SWT.
Post a Comment