Entri ini adalah bahagian kedua, sambungan luahan pengalaman yang dialami isteri saya. Saya copy and paste dari blog isteri saya di zachoes.blogspot.com
_______________________________________________________
Bagi yang lemah semangat atau daya imaginasi terlalu tinggi disyorkan jangan baca post ini. -zack
Bersambung dari Part 1.
Ketika tu doktor check bukaan sudah 5cm. Yang saya perasan, makin lama makin bukaan tu terbuka, sebab akhirnya dari hanya jari-jari saja boleh dimasukkan, sehingga satu genggaman tangan doktor boleh masukkan. Malu dah tolak ketepi, ni berkaitan dengan nyawa. Saya masa tu dah risau cuma tak dapat nak tumpukan sangat sebab menahan sakit. Masa doktor check selukkan tangannya, yang keluar cuma ketulan-ketulan darah yang besar. Semua yang tengok keliru. Hairan. Darah apa ni sampai berketul? Ada yang kata itu mungkin uri. Ya Rabbi. Check-check lagi, tangan doktor dah sampai seluk ke kiri ke kanan dalam perut saya. Cari-cari masih tak jumpa kepala baby. Astagfirullah. Lagi kelam kabut dibuatnya. Dalam bilik wad yang sempit tu peralatan scanner dibawa masuk. Sampai terpaksa tolak semua katil-katil ibu-ibu yang lain ke tepi (Hospital Tawau ni wadnya kecil, bahagian tengah wad pun dia letakkan katil-katil. Bilik wad Kelas 1 pula terletak dibahagian paling hujung. Jadi kalau nak bawa masuk peralatan terpaksa diketepikan katil-katil tu. Kesian semua ibu-ibu tu, saya minta maaf..)
Dah masukkan peralatan, scan jantung baby. Tak dengar. Saya dalam hati kata 'Bedah la saya, apa lagi nak ditunggu' tapi mulut terasa begitu berat sekali. Dalam keadaan saya terbaring atas katil, saya sambil menahan kepala bayi dari terus naik ke bahagian tulang rusuk saya. Mungkin sebab naluri ibu, kita dah tahu ada benda tak kena. Yang saya tahu, sejurus saya rasa dalaman saya seperti disimbah air panas, anak saya dari kedudukan biasa tiba-tiba terpusing. En. Hubby kata dia pun nampak, berlaku satu pergerakan yang luar biasa. Dia kata sampai sekarang dia tak dapat lupakan. Rupanya baby dah kedudukan 'breech' (kepala kat atas, kaki kat bawah) dan dah terkeluar dari rahim. Cuma masa ni takde siapa tahu atau syak sebab baru beberapa jam sebelum tu dah kena pantau.
Berkali-kali masa doktor cari kepala baby tak jumpa, sampai rasanya paling kurang 5 doktor seluk tengok kat dalam cari kepala baby. Saya pula berulang-ulang cakap 'Doktor, kepala anak saya kat kanan doktor. Bukan kat bawah lagi dah' tapi macam takde siapa yang sudi mendengar. Mungkin suara saya dah terlalu lemah sampai tiada yang mendengar. Nurse veteran yang berbaju biru turut perasan anak saya terasa kejang, keras tapi perutnya tidak membulat seperti biasa. Dia pun kata dia hairan bayinya kejang tapi bukan contraction. Dah beberapa minit check, akhirnya jumpa degupan jantung. Tapi sangat, sangat lemah. Biasanya degupan jantung bayi setiap kali saya kena scan adalah lingkungan 150 beats per minit. Tapi kali ni degupan sangat rendah, dalam 60-80 beats per minit saja. Awalnya doktor sangkakan itu degupan jantung saya, tapi check berkali-kali memang degupan jantung bayi. Astagifirullah.. Anakku semakin lemah..
Makin banyak masa berlalu makin panic doktor, suruh siapkan bilik bedah dan cari semua doktor pakar bedah dan pakar bius. Doktor yang in charge ketika tu beritahu saya kena segera dibedah, sebab jantung bayi sudah sangat lemah. Saya hanya mampu angguk lesu. Saya beritahu asalkan semua selamat. Selepas tandatangan apa yang patut, cepat-cepat saya diusung ke dalam bilik bedah kecemasan untuk kes-kes khas. Masa tu sejujurnya saya dah tak rasa apa. Nak kata berserah diri pada takdir pun boleh. Saya tak fikir lagi pasal hidup atau mati. Cuma yang saya perasan, dalam keadaan saya terawang-awang tu, suami asik pujuk kata 'Jangan fikir apa-apa, Nur jangan risau. Semua ok'. Mungkin masa tu dia dah dapat tangkap apa yang berlaku (sebab sebelum saya masuk bilik pembedahan doktor ada berbincang dengan dia kat luar bilik wad).
Dah masuk bilik bedah, doktor suruh saya bongkok untuk masukkan bius dari tulang belakang. Rasanya dipanggil epidural, kalau tak silap saya. Astagfirullahalazim. Susahnya saya nak bongkokkan badan masa tu. Kedudukan bayi seolah dalam keadaan tengah dikendong dalam perut saya. Cuba bayangkan kalau kedudukan bayi tengah melintang dalam perut. Kepala sebelah kiri perut, kakinya di kanan. Dan anda cuba bongkok. Tentunya sukar dan tentunya sakit sekali.. Bila terkenang balik, saya rasa masa kepala arwah menekan-nekan tulang rusuk saya ketika masih dalam bilik wad, dia sedang nazak sebab badannya kejang. Dan masa saya sedang dimasukkan bius dalam bilik bedah, mungkin arwah sudah pergi, sebab kedudukan dia seperti bayi yang sedang dikendong. Tidak lagi mengejang tetapi terkulai lemah.. Wallahu 'alam.. Hanya Dia saja Mengetahui bila arwah pergi..
Dalam bilik bedah setelah saya dibius, saya ulang-ulang bercakap dalam hati 'Janganlah tidur, janganlah tidur'. Saya siap berborak dengan nurse dengan doktor dalam bilik bedah tu, untuk elakkan dari 'terlelap'. Tak sampai 3 minit dibedah, arwah anak saya dikeluarkan. Allah Maha Besar, anak saya lahir dalam keadaan yang menyayat hati. Arwah lahir dicelah-celah organ dalaman saya, dalam keadaan dia masih dalam ketubannya..
Semasa anak dikeluarkan, saya tertunggu-tunggu juga tangisan bayi dan tunggu nurse hantarnya pada saya. Biasanya bayi yang dilahirkan, tidak kira normal atau caesar, kita akan dengar bunyi tangisannya. Dan nurse akan menunjukkan bayi tu pada kita. Namun yang saya dengar cuma suara perlahan nurse memanggil anak saya supaya bangun. 'Adik, bangun dik..bangun...' Walaupun dalam hati saya dapat mengagak apa yang berlaku, tapi saya tak begitu tumpukan sangat. Mungkin juga dalam tak sedar saya menafikannya. Saya tanya pada doktor yang sedang membedah saya (saya dibius separuh badan) di mana anak saya doktor? Doktor jawab dengan lembut, dia tak tahu, tak perasan pula baby dah keluar bilik bedah. Dalam hati saya fikir mungkin masa tengah bedah tu, baby dah keluar bilik dan dimasukkan ke wad kanak-kanak. Dalam tengah dibedah tu sempat saya beritahu nurse darah saya jenis AB, sebab ada saluran darah dimasukkan ke tangan kanan saya. Masa tu saya tak tahu saya sudah kehilangan 1.4 liter darah. Umpama 1 botol besar air mineral banyaknya. Doktor terangkan (pada keesokan harinya) saya telah hilang 1/4 darah dari badan saya. Kalau ikutkan, andaikata saya terlewat beberapa minit, saya akan pengsan dan mati sebab kehilangan darah yang begitu banyak. Doktor kata 1.4 liter darah untuk orang yang berbadan kecil seperti saya amat banyak, sebab badan orang seperti saya cuma ada 4 - 4.5 liter darah saja. Allah Maha Besar, ajal saya belum tiba lagi..
Jika dibandingkan jangkamasa pembedahan anak sulung dengan arwah, dengan anak sulung saya cuma 2 jam dalam bilik bedah. Tapi dengan arwah 3 jam. Saya pun tertanya-tanya kenapa lama sangat saya dibedah. Jawab doktor mereka tengah bersihkan darah dalam rahim saya, jahit balik rahim, otot dan kulit saya. Sebelum saya dijahit kembali, saya berasa sangat hairan. Sebab terasa doktor menyedut darah sampai di bawah tulang rusuk saya. Rupanya darah dari rahim yang pecah telah melimpah sampai atas usus dan organ-organ lain..
Bersambung...
Episod : Tarbiah Diri
1 day ago
0 comments
Post a Comment