_______________________________________________________
Bagi yang lemah semangat atau daya imaginasi terlalu tinggi disyorkan jangan baca post ini. -zack
Bersambung dari Part 3..
Tepat pukul 6 pagi doktor semalam datang melawat saya di wad. Sebenarnya sepanjang malam saya tak dapat tidur dengan lena. Asik termimpi-mimpi, teringat-ingat. Kadang-kadang badan menggigil tak semena-mena. Terasa seperti dihantui oleh satu perasaan yang menakutkan. Ntah kenapa saya pun belum pasti. Kerap kali saya terkejut, tersentak dari tidur. Kemudian kembali tenang apabila melihat terdapat orang disekeliling saya.
Sebelum doktor tiba, suami telah duduk di sisi saya. Memandang tepat ke dalam anak mata saya sambil menggenggam erat kedua-dua tangan saya di dadanya. Dan berkata dengan nada perlahan dan jelas, tanpa menghiraukan orang-orang disekeliling yang kelihatan begitu berminat sekali dengan apa yang berlaku pada keluarga kami, 'Apapun terjadi abang tetap sayangkan Nur..ingat tu..tak kira apa pun berlaku. Ingat abang, ingat Taufiq..'
Dalam hati, saya tertanya-tanya. Apakah yang berlaku? Binggung juga dibuatnya.
Doktor memulakan mukadimah dengan bertanyakan kesihatan saya. Saya menjawab alhamdulillah, baik. Terasa sakit-sakit dihujung jahitan, tapi tidaklah seteruk seperti melahirkan anak sulung. Doktor berkata, mereka telah memberikan painkiller yang paling kuat pada saya, untuk mengelakkan saya rasa lebih sakit.
Doktor berkata lagi, ada 4 perkara yang perlu dia sampaikan. Saya melihat dia menarik nafas dalam-dalam. 'As though bracing himself for the worse', saya terfikir dalam hati. Si suami pula tidak melepaskan genggaman tangan saya di dadanya. Hairan saya ketika itu. Kenapa suamiku sebegini kali concern? Rupanya dia takut saya akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan diri saya sendiri akibat tekanan yang melampau.. Namun alhamdulillah, saya masih berupaya berfikiran waras dan tenang dalam krisis yang melanda..
Doktor mulakan dengan tenang, dia harapkan saya banyak bersabar dengan apa yang ingin dia sampaikan. Kerana sesungguhnya apa yang disampaikan itu telah membuatkan jantungku hampir terhenti seketika. Saya sangkakan pembedahan semalam hanya pembedahan biasa. Sama seperti saya melahirkan Taufiq. Rupanya pembedahan semalam merupakan satu kecemasan menyelamatkan nyawa kami dua anak-beranak. Dan ia turut berkait rapat dengan keupayaan saya menimang zuriat lagi pada masa akan datang. Astagfirullah..
Doktor memberitahu dengan lembut, contraction yang saya rasakan petang semalam telah menyebabkan rahim saya terkoyak. Dan ia telah menyebabkan anak kami lahir di luar rahim, dalam keadaan dia masih di dalam badan maknya. Doktor itu bercakap dengan nada yang seakan menyesal, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan arwah. Namun Allah lebih menyayanginya. Dia telah meninggal sebelum sempat melihat dunia ini, apatah lagi menatap wajah kedua-dua ibu bapanya. Dia telah lahir ketika masih dalam ketubannya, dengan keadaan yang amat menyayat hati..
Doktor juga menerangkan, kebanyakan kes-kes begini apabila rahim si ibu telah pecah (doktor memanggilnya sebagai 'ruptured ovary'), rahim ibu tersebut akan dibuang semasa pembedahan. Namum alhamdulillah, Maha Suci Allah telah mengasihi hambaNya yang hina ini. Koyakan yang terjadi tidak menyebabkan rahim saya pecah berderai umpama sehelai kain buruk yang ditiupi ribut taufan. Rahim saya masih dapat diselamatkan. Doktor seterusnya menerangkan, rahim saya terkoyak sepanjang 8cm dari hujung jahitan lama sebelah kiri hingga ke atas, dan 4cm ke bawah. Dan mujur juga ia tidak terkena pada cervix. Memandangkan ini caesar saya kali ke-2, telah berlaku komplikasi ketika pembedahan kerana bladder atau pundi kencing telah terlekat dengan dinding rahim. Namun ia dapat diatasi oleh doktor ketika pembedahan. Alhamdulillah..
Doktor menjelaskan, selalunya apabila kes ini terjadi, tiada bayi yang pernah selamat. Doktor turut memberitahu, saya cuma bernasib tak baik. Dalam erti kata lain, malang. Saya antara perempuan dalam dunia ni yang mana anaknya meninggal akibat rahim yang pecah gara-gara contraction yang kuat. Kerana mengikut doktor, peratusan untuk terjadi cuma 0.2% saja. Cukup kecil. Sangat kecil. Dan saya ditakdirkan untuk termasuk dalam golongan yang kecil ini. Allahu akhbar.. Bertapa beratnya ujian Engkau berikan pada hambaMu yang lemah ini..
Setelah mendengar penjelasan doktor, saya menerimanya dengan setenang-tenangnya. Ya Allah, benar apa yang ku rasakan beberapa minggu lepas. Memang salah seorang akan menghadapMu, dan ternyata anakku telah pergi menyambut seruanMu dahulu..
Doktor seterusnya memberitahu, kemungkinan apabila saya mengandung lagi akan berlaku komplikasi. Antaranya ialah kandungan di luar rahim, serta risiko yang lebih tinggi semasa pembedahan caesar ke-3. Doktor memberitahu, andaikata saya mengandung lagi, saya mesti dipantau rapi untuk mengelakkan dari rahim ter'contract'. Dan semasa pembedahan nanti, pakar-pakar dari bahagian lain turut akan dipanggil, kerana berkemungkinan semasa memotong bahagian otot-otot antara rahim dan pundi kencing, akan berlaku pendarahan yang banyak yang boleh mengancam nyawa..
Doktor juga menasihatkan, supaya jarak antara anak ke-2 dan seterusnya mesti lebih dari dua tahun. Dan jika dimurahkan rezeki saya untuk mengandung lagi, anak yang dilahirkan juga terpaksa dilahirkan lebih awal. Sama ada minggu ke-36, atau paling lewat minggu ke-37. Cukup bulan hanya untuk mematangkan paru-parunya sahaja. Tujuannya untuk mengelakkan dari contraction berlaku. Dan itu juga adalah kali terakhir saya boleh mengandung lagi, sebelum dipotong dan diikat tiub falopionya..
Akhir sekali doktor menerangkan sebagai langkah keselamatan, perancang keluarga perlu dilakukan. Kami hanya angguk membisu, tanda faham. Selepas doktor menasihatkan saya agar banyak-banyak berehat dan beredar pergi, kami suami isteri terdiam seketika. Mengambil masa memproses maklumat yang diberi. Perlahan-lahan kami berbincang tentang arwah. Berkaitan rupa paras arwah, jahitan saya, dan lain-lain. Ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi. Suami akhirnya membangkitkan soalan yang amat berat sekali. Sudah sediakah saya menatap arwah anak kami pagi itu, sebelum dia dikebumikan? Allahu akhbar.. Bertapa beratnya hatiku ketika itu..
Bersambung...
0 comments
Post a Comment