Alhamdulillah.....biarpun orang yang tidak bersekolah pun selagi masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka tidak menerima dakwaan Charles Darwin itu. Bahkan ada yang mengatakan biarpun Charles Darwin itu bijak kerana mampu mengemukakan teori dalam dunia sains, tetapi malangnya kerana mengaku bahawa dia berasal dari beruk. Kesian..... Kesian juga kepada beruk-beruk yang tidak ikut berevolusi untuk menjadi manusia. Kerana yang jelas kita masih lagi dapat melihat beruk, monyet, gorila, orang utan dan lain-lain sama spesisnya dengannya. Sekurang-kurangnya boleh dilihat di zoo. Adakah mereka ini merupakan antara yang tertinggal untuk berevolusi... Kesian.........
Kesian juga si Charles Darwin itu.....
Kesian sebab mengaku berasal dari beruk.
Satu hal lagi yang kesian adalah tiada pun yang berhujah dengannya bahawa dia itu sebenarnya berasal dari darah daging Nabi Adam A.S., bukan dari beruk. Mungkin ada yang cuba tetapi tidak cukup hujah untuk melawan segala bukti saintifik yang telah susah payah beliau temukan.
Kita juga perlu sedar bahawa sains merupakan satu penemuan. Segala-segalanya sudah Allah sedia adakan di alam semesta ini dan juga di muka bumi. Sebab itu sebarang penemuan, produk atau teknologi hasil manusia, kita sebut sebagai penemuan atau rekaan.
Lebih mudah mungkin jika dilihat pada perkataan yang digunakan dalam Bahasa Inggeris.
".....this theory has been found by......"
".....this technology was invented by......."
Kebiasaannya mereka di kalangan saintis akan menggunakan ayat seperti di atas. Ini kerana jauh di sudut hati kecil mereka bahawa ada Yang Lebih Berkuasa dan Yang Lebih Bijaksana telah memberikan mereka ilham dalam penemuan dan rekaan mereka.
Seharusnya hanya Allah yang layak menggunakan perkataan "mencipta". Ini kerana perkataan "mencipta" itu membawa maksud menghasilkan sesuatu daripada sesuatu yang tiada atau sesuatu yang tidak pernah ada sepertinya. Dengan kata lain ianya tersangatlah unik kerana tidak pernah tercipta sesuatu itu biar pun seakan dengannya.
Sedangkan apa sahaja yang manusia buat, reka, cipta adalah berdasarkan atau meniru apa yang mereka lihat pada kejadian Allah. Manusia seharusnya hanya layak menggunakan perkataan "reka". Kerana manusia hanya mampu mereka-reka sesuatu berdasarkan sesuatu. Ia semua ilham dari Allah. Allah juga yang menemukan manusia kepada sesuatu untuk dijadikan ilham, teori dan akhirnya rekaan teknologi.
Allah jualah yang menemukan Charles Darwin kepada Teori Evolusi. Akan tetapi adakah Allah sekejam itu, sengaja membiarkan Charles Darwin kebodohan mengaku dirinya berasal dari beruk seterusnya menyebabkan sebahagian besar umat Islam menggelarnya bodoh. Belum lagi saya menemukan nama Charles Darwin di dalam al-Quran mengenai kebodohannya. Maka dengan itu kita juga tidak boleh mengatakan sedemikian seratus peratus pada Charles Darwin. Kesian dia.....
Berlainan dengan nasib Abu Lahab, Firaun, Qarun dan lain-lain kerana nama mereka sememangnya termaktub di dalam al-Quran. Maka tidak salah jika kita mengatakan Abu Lahab ahli neraka. Bahkan Allah telah turunkan surah Al-Lahab atau disebut surah Al-Masad sewaktu Abu Lahab masih hidup. Memang ketika surah itu diturunkan, Abu Lahab masih kafir. Akan tetapi Abu Jahal pun akhirnya memeluk Islam. Tidak mustahil juga Abu Lahab mungkin boleh masuk Islam. Akan tetapi disebabkan turunnya surah Al-Lahab yang mengisahkannya sebagai ahli neraka, maka sewaktu beliau hidup lagi Allah telah melabelkannya sebagai ahli neraka. Betapa teruk apa yang dilakukan Abu Lahab terhadap Rasulullah sehingga turunnya surah Al-Lahab. Sedangkan Firaun zaman Nabi Musa yang terkenal dengan kezalimannya itu pun Allah nyatakan dalam Al-Quran setelah beberapa ratus tahun kematian Firaun.
Berbalik kepada Teori Darwin, disebabkan teori beliau maka wujud sekumpulan manusia yang mana begitu taksub dengan apa yang telah dinyatakan oleh Teori Darwin ini. Bahkan ada yang menyatakan bahawa ia menjadi satu fahaman cuma saya kurang pasti fahaman yang bagaimana. Tetapi fahaman ini mengagungkan Charles Darwin dan Teori Evolusi tersebut.
Tidak kurang juga dengan ketaksuban para saintis yang masih lagi cuba hingga kini untuk memastikan kebenaran Teori Evolusi Darwin itu. Akibat dari itu begitu banyak teknologi yang terhasil dalam usaha menyokong kebenaran teori tersebut.
Salah satu teknologi yang terhasil ialah satu pengimbas beserta dengan perisian yang mampu menghasilkan semula susunan urat, otot dan juga raut wajah hanya berdasarkan tulang tengkorak. Dengan kata lain, sekiranya anda mahu mengetahui bagaimana rupa paras moyang kita 7 generasi sebelum ini, samada hensem atau macam mana, cari je tulang tengkorak moyang tersebut dan lakukan imbasan. Maka sistem tersebut akan menghasilkan imej secara 3D dan dapatlah kita lihat bagaimana rupanya.
Begitu menakjubkan sekali teknologi yang terhasil daripada cetusan idea Teori Evolusi Darwin ini. Ini baru satu sahaja contoh teknologi yang terhasil disebabkan teori tersebut.
Besar juga manfaatnya dalam tamadun manusia biarpun kedengan agak bodoh "manusia berasal dari beruk".
Sedangkan kita, apa yang telah kita hasilkan.....
Betul.....ramai para ilmuan Islam terdahulu yang telah banyak menyumbang dari segi ilmu dan juga teknologi dalam membangunkan tamadun manusia. Tapi bagaimana dengan masyarakat Islam kita hari ini.....
Begitu banyak bukti juga ditemui yang membawa kepada membenarkan teori evolusi tersebut.
Andai kata Charles Darwin masih hidup, mahu saja saya minta dia baca entry saya ini. Mudah-mudahan beliau dapat menemukan sesuatu yang mungkin tercetus hidayah dari Allah.
Isu di sini ialah asal kejadian manusia. Darwin mendakwa manusia adalah evolusi dari beruk. Yang jelas masih kelihatan beruk dan spesis-spesisnya. Kenapa? Kesian beruk-beruk tersebut kerana tidak ikut berevolusi. Adakah evolusi hanya berlaku pada sesetengah beruk sahaja? Adakah mungkin satu hari nanti juga kita akan dapat melihat beberapa ekor beruk di zoo berevolusi sehingga menjadi manusia. Sepertimana imaginasi mereka dalam movie Rise of the Planet of the Apes. Ianya agak menakutkan.....
Kita cuba berbalik kepada rujukan kita sebagai orang Islam, sewaktu Allah hendak menjadikan Adam A.S. iaitu bapa kepada seluruh umat manusia hari ini. Bapa kepada para nabi dan rasul. Juga moyang besar kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Malaikat bertanya (tentang hikmat ketetapan Allah itu berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
(Al-Baqarah : ayat 30)
Jelas dilihat dalam al-Quran ada menyatakan berlaku sesi dialog antara Allah dan para Malaikat sewaktu Allah mengumumkan bahawa Dia hendak menciptakan Adam A.S untuk dijadikan khalifah di bumi.
Dapat dilihat Malaikat cuba mempertikaikan, kenapa Allah mahu menjadikan manusia sebagai khalifah sedangkan mereka makhluk yang suka membuat bencana dan saling berbunuh-bunuhan. "Manusia" manakah yang dimaksudkan oleh Malaikat? Sedangkan Allah belum lagi menciptakan manusia. Allah baru sahaja memberitahu bahawa Dia hendak menjadikan manusia untuk menjadi khalifah.
Kita juga maklum bahawa walaupun Malaikat diberikan keistimewaan boleh ke syurga, neraka, Arasy, tetapi masih lagi dihadkan oleh Allah untuk melihat Luh Mahfuz. Jadi Malaikat juga tidak berupaya mengetahui masa hadapan. Bagaimana mungkin Malaikat boleh mengatakan manusia itu makhluk yang suka membuat kerosakan dan saling berbunuhan sedangkan Allah baru sahaja hendak menjadikan Adam A.S.
Dengan kata lain, Malaikat berkata demikian kerana melihat makhluk "manusia" sebelum ini yang telah melakukan kebinasaan di muka bumi dan saling berbunuhan.
Persoalannya "manusia" manakah yang dilihat Malaikat?
Bermakna telah wujud "manusia" di muka bumi sebelum Allah menjadikan Adam A.S. "Manusia" yang rupa parasnya sememangnya hampir sama betul susuk tubuhnya seperti manusia yang bakal dijadikan Allah iaitu Adam A.S.
"Manusia" itulah yang diceritakan Malaikat telah melakukan kebinasaan dan saling berbunuh.
Kemudian "manusia" itu kesemuanya telah pupus, terhapus disebabkan perbuatan mereka itu sendiri. Ia juga merupakan salah satu "pembersihan" yang Allah lakukan terhadap spesis itu sebelum Dia menyiapkan Adam A.S. untuk diperintahkan sebagai khalifah di muka bumi.
Ada pendapat yang mengatakan bahawa "manusia" itu adalah jin. Disebabkan mereka telah melakukan banyak kerosakan maka Allah menghukum mereka. Dan disebabkan Allah mahu menjadikan Adam A.S. dan akan dijadikan khalifah di muka bumi maka jin berdoa pada Allah supaya mereka semua tidak dapat dilihat oleh Adam A.S. dan keturunannya.
Ada pendapat lain pula menyatakan bahawa sememangnya terdapat makhluk lain yang seperti manusia yang pernah hidup di muka bumi sebelum Adam A.S.
Saya mengimbau semula apa yang pernah saya pelajari di sekolah dulu dalam subjek sejarah. Mungkin anda juga pernah dengar mengenai Zaman Batu, Zaman Logam dan juga Zaman Prasejarah. Zaman Prasejarah pula dibahagikan kepada beberapa zaman iaitu Zaman Paleolitik, Zaman Mesolitik dan Zaman Neolitik.
Zaman Prasejarah awal iaitu Zaman Paleolitik dikatakan seawal 50,000 tahun sebelum Masihi. Ada juga yang mengatakan bahawa tamadun manusia ada yang sudah bermula seawal 300,000 tahun sebelum Masihi. Apa yang dapat kita lihat di sini ialah manusia dikatakan mula dikesan mendiami bumi seawal 300,000 tahun sebelum Masihi atau mungkin pada 50,000 tahun sebelum Masihi.
Zaman Neolitik pula dikatakan bermula sekitar 9,500 tahun sebelum Masihi. Mereka dikatakan sudah mula bercucuk tanam dan mampu menghasilkan tembikar.
Seterusnya Zaman Mesopotamia yang bermula sekitar 7,000 tahun sebelum Masihi. Mereka dikatakan sudah mempunyai organisasi sosial. Masyarakat mereka mempunyai beberapa kelas. Kelas atasan, pertengahan dan hamba. Pekerjaan juga telah wujud seperti juruwang, guru, pedagang, petani, tukang, ahli sains, ahli nujum dan pelbagai lagi. Sekitar 3,500 tahun sebelum Masihi, Zaman Mesopotamia dikatakan semakin berkembang sehingga dikatakan detik tamadun awal manusia bermula.
Ada beberapa kitab menyatakan bahawa Nabi Adam A.S. hidup di bumi selama 930 tahun. Hawa pula diciptakan selepas 150 tahun Adam A.S. diciptakan. Kemudian mereka diturunkan ke muka bumi sekitar 4,500 tahun sebelum Masihi. Dikatakan juga bahawa Nabi Nuh A.S. lahir sekitar 127 tahun selepas kewafatan Nabi Adam A.S. dan Nabi Adam A.S. sempat bersama dengan ayah kepada Nabi Nuh A.S. sekurang-kurangnya 50 tahun.
Sekiranya Nabi Adam A.S. diturunkan ke bumi pada 4,500 tahun sebelum Masihi, siapakah dia "manusia" yang dikatakan mendiami bumi oleh ahli sejarah sejak Zaman Prasejarah itu, dan mula mahir membuat tembikar dan bercucuk tanam pada Zaman Neolitik?
Adakah "manusia" ini yang dikatakan oleh Malaikat iaitu makhluk yang melakukan kerosakan di muka bumi dan saling berbunuhan?
Ahli sejarah dan arkeologi juga bukan sembarangan mengatakan bahawa telah wujud manusia sejak Zaman Prasejarah. Mereka telah menemukan tulang tengkorak yang berusia lebih 10,000 tahun. Ada yang jauh lebih tua dari itu. Begitu juga dengan hasil-hasil tembikar, alatan logam dan batu yang berusia lebih 10,000 tahun. Sedangkan terdapat pendapat menyatakan bahawa Nabi Adam A.S. diturunkan ke bumi hanya selepas 4,500 tahun sebelum Masihi. Sudah tentu tulang tengkorak dan hasil-hasil tembikar itu semua bukan dari Nabi Adam A.S. atau pun anak cucunya.
Apa yang dapat dilihat di sini ialah pada Zaman Mesopotamia telah mula wujud manusia yang bersosial dan juga mempunyai kepercayaan.
Bila dilihat pada masanya pula agak lebih kurang dengan waktu Nabi Adam A.S. diturunkan ke bumi.
Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa Zaman Prasejarah dan Zaman Neolitik itu semua hanya tipu belaka.
Di dalam al-Quran juga belum lagi saya menjumpai mana-mana ayat yang mengisahkan tentang Zaman Prasejarah. Yang ada hanya zaman Nabi Adam A.S, Idris A.S, Nuh A.S dan seterusnya hingga zaman Nabi Muhammad S.A.W. dan umat akhir zaman.
Mengapa tidak disebutkan tentang "manusia" zaman prasejarah?
Ini kerana mereka itu bukanlah makhluk yang Allah jadikan untuk menjadi khalifah di muka bumi ini seperti kita. Mereka tidak diberikan tanggungjawab dan amanah yang berat ini. Mereka hanya bagaikan makhluk lain yang Allah jadikan di muka bumi, seperti haiwan-haiwan lain. Mungkin mereka diberikan kepintaran melebihi haiwan-haiwan yang lain yang membolehkan mereka berfikir sehingga berupaya membuat peralatan dalam membantu kehidupan seharian mereka.
Dalam sains, mereka ini juga digelar sebagai homo-sapien.
Disebabkan kepintaran yang ada pada mereka maka mereka terdorong untuk melakukan kerosakan dan saling berbunuhan seperti mana yang dikatakan oleh Malaikat sewaktu Allah hendak menciptakan Adam A.S. Akhirnya mereka terhapus, pupus disebabkan perbuatan mereka sendiri.
Kemudian akhirnya Allah menjadikan Adam A.S yang mana kejadiannya adalah jauh lebih baik dari mana-mana makhluk lalu dijadikan khalifah di muka bumi ini. Kita semua juga maklum bahkan seluruh manusia biarpun yang beragama selain dari Islam mengetahui bahawa telah berlaku satu banjir yang amat besar di bumi pada zaman Nabi Nuh A.S. Pada ketika itu, hanya manusia yang beriman kepada Allah sahaja yang terselamat. Selain dari itu semuanya menjadi pupus.
Mengapa Allah menjadikan banjir besar itu berlaku sehingga seluruh dunia tiada daratan..... Andai kata wujud lagi "manusia" pada ketika itu juga akan turut sama pupus sewaktu banjir besar itu berlaku.
Dapat dilihat di sini bahawa sememangnya terdapat bukti bahawa telah wujud "manusia" sebelum Adam A.S. diciptakan Allah. Apa yang dapat diperkatakan di sini adalah "beruk" yang dikatakan Charles Darwin yang mengalami evolusi itu sememangnya bukan yang menjadi Nabi Adam A.S. "Beruk" itu mungkin berevolusi sehingga menjadi "manusia" yang wujud pada Zaman Prasejarah. Dan "beruk" yang berevolusi itu jugalah yang dikatakan oleh Malaikat sewaktu Allah hendak menjadikan Adam A.S. "Beruk" itulah makhluk yang suka melakukan kerosakan dan saling berbunuhan sepertimana yang diperkatakan Malaikat.
Adakah Teori Evolusi Darwin itu salah?
Saya katakan bahawa teori tersebut betul dan dalam masa yang sama ianya juga turut salah. Ini kerana Charles Darwin telah tersalah anggap bahawa "manusia" yang dikatakan Malaikat itu adalah manusia yang sama dengan Adam A.S. dan juga anak cucunya, seterusnya Charles Darwin itu sendiri.
Betapa istimewanya makhluk yang bernama manusia ini Allah jadikan sehingga bumi ini pernah dicuci Allah sewaktu banjir besar pada zaman Nabi Nuh A.S. Bumi ini juga telah Allah renovate sewaktu kejadian bulan untuk disesuaikan dengan makhluk Allah yang bernama manusia.
Maha Suci Allah yang telah menjadikan sekelian alam.
Maha Bijaksana Allah yang begitu teratur dan rapi dalam merencana sesuatu.
0 comments
Post a Comment