Visitor


Contact Me


Email : be_baby_face@yahoo.com

Followers

Tuesday, July 26, 2011

Nurfatihah Humairah hanya sekadar singgah sebentar - Part 2

25 Julai 2011 sememangnya hari yang banyak mengubah kehidupan kami sekeluarga. Walaupun isteriku mendapat wad kelas 1, tetapi disebabkan keadaannya, dia diletakkan bersama-sama pesakit lain dan diletakkan di hadapan stesen jururawat untuk pemantauan yang lebih. Tak lama selepas isteriku dipindahkan ke wadnya, ramai juga rakan-rakan yang datang melawat. Alhamdulillah... Dapatlah juga memberi sokongan moral khasnya buat isteriku. Walaubagaimanapun isteriku belum lagi mengetahui keadaan sebenar yang berlaku ke atas dirinya begitu juga keadaan anak kami. Menjalani pembedahan selama 3 jam merupakan satu stress. Saya biarkan dulu isteriku berehat. Biarkan dia lebih kuat untuk menerima apa yang bakal diberitahu.

Sekali sekala saya berbual-bual dengan isteri, menemankannya sambil menceritakan rupa paras anak kami. Dia tersenyum gembira. Saya kasihankan isteri saya kerana beliau masih terlalu lemah akibat pembedahan. Doktor juga menasihatkan agar isteri saya dibiarkan berehat dahulu. Doktor juga berjanji untuk ada bersama-sama kami keesokan pagi dalam jam 6 pagi untuk sama-sama memberitahu kepada isteri saya. Sementara itu saya cuba memberikan gambaran yang sangat samar-samar tentang keadaan sebenar. Begitulah yang saya lakukan sepanjang malam bila ada peluang. Selang-seli dengan berehat. Kami berdua perlu merehatkan diri dari segi fizikal dan juga mental.

Keesokan paginya selepas menunaikan solat subuh, kira-kira jam 5 pagi, saya segera ke katil isteri saya. Kami berbual-bual lagi. Tapi kali ini isi perbualan kami lebih menjurus kepada topik dengan lebih jelas. Seperti yang dijanjikan, sekitar jam 6 pagi doktor tiba. Perlahan-lahan kami memulakan topik. Bermula dengan hal pembedahan, rahim pecah, kebarangkalian untuk mengandung lagi dan risikonya sehinggalah kepada hal anak kami yang sudah tiada. Alhamdulillah, isteriku dapat menerimanya dengan hati yang tenang. Sungguh bersahaja isteriku mendegar penjelasan dari doktor. Alhamdulillah, isteriku sememangnya seorang yang kuat dan tabah. Sekali lagi saya bersyukur kepada Allah. Cuma apabila bertanyakan bahawa adakah dia sudah bersedia untuk mendakap jenazah anak kami, isteriku agak berat hati. Kelihatan air mata berlinangan di balik wajahnya yang kelihatan tenang. Biarlah isteriku mengambil masa beberapa minit untuk menyerap segala apa yang berlaku dengan tenang.

Kira-kira sekitar jam 6.40 pagi, isteriku memberitahu bahawa dia sudah bersedia untuk melihat jenaah anak kami. Saya segera membawakan anak kami kepadanya. Jelas kelihatan wajah puas hati dan gembira kerana anak yang dikandungnya seperti yang digambarkan. Kerana itulah isteriku memilih nama Nurfatihah Humairah untuk diberikan kepada anak kami. Naluri seorang ibu. Mereka lebih merasakan anak yang mereka kandungkan. Sememangnya urusan memberi nama ini saya berikan kepada isteriku. Biarlah nama yang diberikan merupakan lambang kebanggaan isteriku mengandungkan anak kami. Tidak dapat dinafikan kesedihan isteriku apabila mendakap tubuh anak kami yang tidak bergerak.

Setelah puas berpelukan, isteriku memberitahu saya supaya menguruskan jenazah anak kami. Alhamdulillah... Itulah yang sebaiknya. Tanda isteriku semakin redha dengan pemergian anak kami. Sekitar jam 7 pagi, saya mendukung keluar anak kami dari hospital. Dengan bantuan rakan-rakan, saya tiba di rumah sekitar jam 7.20 pagi. Rakan-rakan mula datang ke rumah untuk membantu menguruskan jenazah. Saya turut membawa Taufiq, anak sulung kami bersama. Biar Taufiq tahu yang dia ada adik.

Setelah semuanya sedia, kami memulakan urusan pengurusan jenazah. Saya pangku anak saya semasa memandikannya dibantu rakan-rakan. Walaupun sedih tapi saya gembira. Saya menggunakan peluang yang ada untuk bersama anak saya selama yang boleh. Rakan-rakan wanita pula yang mengkafankannya. Saya melihatnya di tepi sehingga selesai kafan. Kemudian tiba waktu untuk sembahyang jenazah. Rakan saya merangkap ustaz menawarkan saya untuk mengimamkannya. Entah kenapa waktu hendak sembahyang jenazah, hati terasa begitu sebak. Sehingga tiada bunyi yang keluar bila saya cuba untuk berkata-kata. Biarlah ustaz yang mengimamkannya. Cukup saya di saf hadapan. Sememangnya sejak menatap jenazah, entah kenapa pada ketika hendak sembahyang jenazah baru hati terasa begitu sebak. Tapi saya tetap puas hati kerana berpeluang menguruskan anak saya biar apa pun keadaan anak saya.

Lebih kurang sejam lebih baru kubur siap digali. Sementara itu ramai lagi yang masih datang menziarah. Alhamdulillah... Lebih kurang jam 10 lebih kami bergerak ke kawasan perkuburan berhampiran tempat tinggal saya. Saya juga turut terharu dan gembira kerana student-student dan bekas student-student saya yang bertungkus-lumus untuk menggali kubur arwah anak saya. Nurfatihah, kubur Nurfatihah disediakan oleh student-student abah tau...

Saya sendiri turun untuk menghantar Nurfatihah ke liang lahadnya. Inilah tanda penghormatan abah untuk anak abah selaku ahli syurga. Abah, mak dan abang Taufiq takkan lupakan Nurfatihah Humairah. Walaupun hadirnya Nurfatihah begitu sekejap, tapi sudah cukup untuk mengukir memori buat kami. Jenazah selesai dikebumikan sekitar jam 11 pagi pada 26 Julai 2011.

Selepas Isyak pula, ada rakan yang menawarkan untuk menguruskan bacaan tahlil di rumah saya. Alhamdulillah... Setelah selesai semuanya, saya dan Taufiq ke hospital untuk menemankan isteri saya. Ada juga jenguk isteri saya selepas selesai pengkebumian. Isteri saya kelihatan semakin sihat, bersemangat untuk meneruskan hidup. Redha menerima apa yang berlaku. Mudah-mudahan akan lebih mempercepatkan lagi proses pemulihannya.

Tembuni arwah anak saya juga selesai saya uruskan. Saya tanamkannya di laman belakang rumah. Biasanya tembuni akan ditanamkan dengan asam, garam dan paku besi. Secara saintifiknya, garam dan asam akan mempercepatkan proses pengeringan anakala paku besi pula sebenarnya membantu tindakan kimia tersebut secara ionik. Ada juga yang turut meletakkan pensel sebagai simbolik harapan anaknya nanti menjadi seorang yang rajin belajar dan pandai. Saya meletakkan cetak tart milik isteri saya. Walaupun Nurfatihah sudah tiada, tetapi saya tahu bahawa Nurfatihah memang gemar temankan emaknya memasak, buat kek dan biskut di dapur. Dan cetak tersebut juga adalah besi maka tiada salahnya. Mempunyai maksud simbolik dan juga membantu proses pengeringan tembuni secara saintifiknya.

Saya memberitahu isteri saya bahawa cetak tart nya nanti akan ada yang kurang kerana teah digunakan sebagai satu simbolik. Gembira isteri saya mendengarkan kerana terkenangkan kenangan mereka bersama semasa arwah masih di dalam kandungan yang sentiasa teruja menemankan ibunya memasak di dapur. Biarpun hanya menunggu hari, isteri saya masih gagah di dapur untuk memasak dan membuat kek serta biskut.

5 comments

FiyanParent's August 3, 2011 at 3:24 PM

InsyaAllah, dengan keredhaan kehilangan Nurfatihah...kelak di akhirat Nurfatihah akan jadi pendiding yang mendindingi mak dan abahnya dari api neraka..

zuliana abd rahman August 3, 2011 at 3:46 PM

salam, takziah buat awak dan isteri.saya juga ibu kepada ahli syurga seperti isteri awak.Cuma bezanya saya kehilangan permata hati saya ketika dia dlm kandungan saya lagi (37 weeks).hari ini genap 46 hari arwah siti hawa meninggalkan ibu, abah dan kakaknya.
Memang berat utk menghadapi ujian ini.namun saya perlu kuat dan tabah.Insyaallah dia menanti kita di sana.Ingatlah bila Allah memilih kita untuk diuji bermakna DIA menyayangi kita.Salam buat isteri anda.

Hardy Boy August 3, 2011 at 3:57 PM

bykkan bersabar & kuatkan semangat Rahmat. kami semua tumpang simpati.... semoga Nurfatihah akan membantu ibu bapanya di akhirat nanti, InsyaAllah...

mamat August 3, 2011 at 4:32 PM

terima kasih rakan-rakan atas sokongan moral yang diberikan.

entri ini sekadar catatan sejarah buat kami. supaya kami tidak lalai dengan apa yang pernah kami lalui. terutama isteri saya yang seolah-olah diberi peluang kedua. terlepas dari ambang kematian.

hihihi...

Zack August 4, 2011 at 8:16 AM

lebih kepada peringatan pd diri sendiri..ajal maut dtg tak kira bentuk atau usia..mudah2an kita jd org yg sentiasa beringat, insyaAllah..