Pernah satu ketika saya tertanya-tanya, kenapa kalimah بسم الله الرحمن الرحيم adakala diterjemah kepada "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang", adakala diterjemah kepada "Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang".
Timbul kekeliruan pada saya apa makna sebenar bagi perkataan الرحمن. Kerana ada kala diterjemah sebagai "Maha Pemurah" adakala sebagai "Maha Pengasih". Kenapa berubah-ubah.....
Tanya kepada orang 'alim, antara jawapan mereka adalah sifat الرحمن ini Allah beri kepada semua makhluk termasuk orang kafir manakala sifat الرحيم pula Allah hanya beri kepada orang Islam sahaja.
Sehingga ada orang 'alim nahu beritahu saya, dia terangkan dengan kaedah bahasa kerana itu yang dia mahir.
Kata الرحمن dan الرحيم ini terbit dari kata رحم yang bermaksud memberi.
Tapi dijelaskan kepada saya, perbuatan memberi ini ada berbagai dan bukan semua "memberi" itu membawa maksud yang sama dengan kata رحم.
Memberinya رحم ini adalah memberi tanpa syarat.
Mudah kita faham begini. apabila kita memberi, ada ketika kita memberi kerana kita kenal dia, ada ketika kerana kita sayang dia, ada ketika kerana tidak apa-apa sebab yang mana kita kenal dia pun tidak.
Maka kata رحم itu adalah memberi yang kita tidak mengira kepada siapa yang kita beri sama kenal atau tidak, orang itu memerlukan atau tidak, samada orang itu baik atau tidak.
Sebab itu sebelum kita lahir kita ditempatkan di rahim (رحم) ibu. pernah dengar ke rahim ibu yang tak beri zat galian kepada kandungannya... Tak pernah kan... Biar si ibu tidak sukakan janin yang dikandungnya, tapi rahimnya akan terus membekalkan segala keperluan janin tersebut. Andai ada juga rahim yang tidak memberi keperluan janin itu maka ia adalah rahim yang cacat. Bermakna tidak menjalankan fungsinya sebagai rahim.
Jadi perbuatan رحم itu adalah memberi tanpa syarat, tanpa pilih kasih, tanpa menilai apa-apa.
Seterusnya saya diterangkan kaedah terbitan pula iaitu sorof.
Kaedah bahasa arab adalah setiap benda dinamakan berdasarkan sifat atau perbuatannya. Sebab itu saya ada sebut kalau kita kaji nama-nama syaitan yang pernah disebutkan oleh Nabi s.a.w mungkin kita akan dapat mengetahui dia punya characteristic atau property atau sifatnya.
Sebab itu dalam pepatah arab, ada menyebut
لا يسم الانسان الا لنسى
"tidak dinamakan manusia kecuali kerana sifat lupanya"
Perkataan انسان dan perkataan ناس adalah terbitan dari perkataan نسى yang bermakna lupa.
Kalau perhati dalam al-Quran, banyak kali manusia disebut dengan kata ناس. Tapi ada ketika Allah menyebut manusia dengan perkataan lain (tapi terjemahan tetap kata manusia). InshaaAllah akan dikongsi pada ketika yang lain.
Berbalik pada kata رحم tadi, secara kaedah bahasa arab, disebabkan setiap nama asasnya adalah dari perbuatan atau sifat atau disebut fe'el (فعل).
Setiap kata فعل ini asasnya adalah 3 huruf. فعل ni senang faham macam verb la. Semua perkataan verb dalam bahasa arab ini asasnya adalah 3 huruf.
Macam رحم, pun 3 huruf.
Kita lihat satu persatu.
Apabila huruf terakhir bagi kata فعل itu ditanwin baris ataskan, atau dibaris dua ataskan maka akan jadi فعلً
Kata فعلً ini menunjukkan bahawa ia dilakukan dalam keadaan ia adalah banyak resource. macam mana nak cakap ye...
Begini, saya apply dulu pada kata رحم
Maka akan menjadi رحمً yang mana bunyinya adalah rahman. lazimnya ia akan dieja رحمان.
Tapi ada kala dieja رحمن cuma kalau perhati betul-betul, ada huruf alif (ا) kecil diatas huruf م dalam ejaan tersebut. Sebab itu walaupun ejaannya الرحمن tapi kita akan baca dua harkat pada huruf م menandakan ada huruf alif di situ.
Kalau رحم itu memberi tanpa syarat maka رحمان pula memberi tanpa syarat dalam keadaan kita rasa kita ada banyak resource semasa memberi.
Nampak macam tiada beza. Tapi ada sebenarnya. Pada sudut pandangan hati.
Begini.....
Bila kita memberi, dalam masa yang sama kita merasakan bahawa kita ada sikit je benda yang kita nak bagi, apakah sama perasaannya kalau kita memberi semasa kita rasa kita ada banyak benda tu.
Kita nak sedekah, dan kita rasa duit kita 1000 tu akan susut dengan kita sedekah, adakah sama seandainya kita bersedekah dalam keadaan kita tak terasa pun 1000 yang kita ada tu akan susut. ringan je tangan memberi.
Begitulah... رحمان ini adalah memberi dalam keadaan kita merasa yang kalau kita beri pun tak luak pun, tak terjejas pun. Walaupun hakikatnya memang luak. Dah ada rm1000 kalau sedekah rm10 maka akan tinggal rm9990. Kan terluak tu.
Tapi beza dalam hati. Orang yang ada sifat رحمان ini langsung tidak terkesan apa lagi risau dengan terluaknya rm10 itu tadi. Kerana dalam hatinya seolah-olah tak luak pun. Ada banyak lagi duit dia. Perasaan dalam hati dia je la...
Berbeza yang memberi tapi terasa luak dengan memberi rm10 itu, ia tidak menterjemahkan makna رحمان.
Tapi Allah, Maha الرحمان, pasti dan pasti tidak terluak sedikit pun khazanah Allah setiap kali Dia memberi.
Sebab itu ulama' menyebut bahawa sifat الرحمان ini Allah beri pada semua makhluknya termasuk orang kafir. Allah tak kira samada makhluknya itu taat atau menderhaka, Allah tetap memberi tanpa syarat.
Tengok pula pada kata رمضان, yang mana terbit dari kata رمض bermaksud panas membakar.
Dari segi sejarahnya tiap kali bulan itu, cuaca akan panas. Siapa yang tidak membuat persiapan awal kebanyakannya akan tewas mengharungi bulan tersebut. Suasana panas membakar ini akhirnya mereka memanggil sebagai bulan رمضان. Selepas kedatangan Islam, رمضان ini bukan sekadar kerana cuacanya, malah membawa maksud bulan yang membakar dosa. Sebab itu dikatakan siapa yang tidak diampunkan dosa setelah berlalu bulan رمضان maka dia terdiri dari orang yang rugi malah ada yang kata orang yang celaka.
Ada kaitan juga dengan bulan sya'ban. Tapi lain kali la.....
Seterusnya...
Apabila kata فعل ini ditambah huruf ي antara huruf kedua dan ketiga, ia memberi maksud perbuatan itu berterusan selamanya, berpanjangan.
Contoh جنة نعيم diterjemah sebagai syurga yang penuh nikmat.
Kata نعيم itu menunjukkan bahawa nikmat berpanjangan tidak putus sampai bila-bila.
Kita apply pada kata رحم menjadi رحيم bermakna pemberian yang berpanjangan selamanya sampai bila-bila.
Bila Allah menyebut Dia الرحيم maka Dia akan memberi berpanjangan selama-lamanya.
Sebab itu ulama' sebut sifat الرحيم Allah ini Allah beri hanya pada muslim. Kerana Allah memberi pada semua termasuk yang kufur hanya di dunia. Tetapi di akhirat mereka tidak lagi Allah beri melainkan kepada yang beriman sahaja.
Automatik saya faham beza antara الرحمن dan الرحيم.
Saya juga faham kaitannya dari sudut hati. secara tidak langsung belajar tasawuf. Tinggal lagi hendak diamalkan.
Seterusnya........
Apabila kata فعل ditambah ة (ta marbutah) selepas huruf ketiga, ia memberi maksud bahawa ia akan berterusan. Walaupun akan berhenti satu ketika, tapi satu ketika nanti akan diteruskan semula. begitulah seterusnya. buat.....berhenti.....buat....berhenti.....buat.....
Dan kata yang ditambah dengan huruf ة ini biasanya terbitan untuk kata menjadi katanama.
Kata رحمة dalah terbitan dari رحم dengan penambahan ة.
Ingat kata رحم tadi, memberi tanpa syarat.
Maka رحمة adalah pemberian tanpa syarat.
Sebab itu Allah menyebut bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu adalah رحمة sekalian alam. Nabi itu sendiri adalah رحمة.
Sebab itu Nabi tidak pilih kasih. Siapa sahaja yang Baginda jumpa, sama saja layanan Baginda. Risau Baginda sama rata. Baginda risaukan semua umat, sentiasa fikir bagaimana semua umat samada yang pernah Baginda jumpa atau tidak, bagaimana supaya dapat selamat dari kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat.
Cuma kita ni ada ketika tak rasa pun yang Nabi itu satu rahmat, ada ketika kita rasa.
Kalau perasan, setiap kata nama arab ada lelaki ada perempuan. atau disebut مذكر (male) dan مؤنث (female).
Apa-apa perkataan yang untuk lelaki, bila nak jadikan untuk perempuan akan ditambah dengan huruf ة.
Contoh
jamil -> jamilah
syakir -> syakirah
amin -> aminah
Banyak lagi.....
ustaz -> ustazah
Letak huruf ة je.
Tadi saya ada sebut penambahan ة menunjukkan apa...
Kalau perasan ia sinonim dengan perangai perempuan.
Sebab itu ada ustaz kata, orang perempuan kalau membeli, dia kata last, jangan percaya. nanti ada lagi dia minta. Kalau tak kejap lagi, tunggu la esok ke minggu depan ke bulan depan ke. Tunggu je la.....
Kalau dia kata last la bersalin ni. Tak nak lagi. tengok la nanti... Kang tetiba nak...
hehehe... Bergurau...
Tapi tu la... Memang ada perkaitan.
Sebab tu marah-marah pun, masih lagi tetap masakkan walaupun kata "masak la sendiri".....
Tu yang saya kata, bahasa ni macam formula matematik
Mudah-mudahan kita semua dapat belajar sesuatu.
Yang paling terkesan pada saya ialah di mata nampak lebih kurang sama tapi tak sama di hati. Terutama kata رحمان. Orang kata رحمان ni orang yang dermawan. Tapi bila faham begini, saya rasa walaupun saya menderma tapi tidak memenuhi maksud sebenar رحمان. Mudah-mudahan diberi kefahaman untuk beramal sepertimana maksud sebenar رحمان
Teringat pada satu hadith
Dari Jabir bin 'Abdullah
مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ
"Siapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi"
(Sahih Bukhari, Bab 78 (al-Adab) Hadith ke-44)
Kata yang diguna adalah رحم.
Selalu bila nak tolong orang, nak rasa kesian pada orang, saya sering tengok dulu dia itu siapa.
Bila teringat hadith ini, dan penerangan kata رحم tadi, selama ini saya memilih dalam menolong sedangkan Nabi bukan ajar begitu 😭😭😭
Terlintas juga yang mungkin bila saya sebut رحمة itu sebagai pemberian tanpa syarat, mungkin orang tak berapa nampak sebenarnya.
Begini... kita maklum yang Allah dan Nabi ada sebut ganjaran untuk satu-satu amalan. Termasuk juga berapa kali ia boleh digandakan. Kita nampak la itu mungkin penyebab kenapa orang beramal kerana hendak mengejar pahala. Sesuai untuk yang baru bertatih.
Tapi bila seseorang makin kenal Allah, makin kenal Nabi s.a.w, biasanya dia akan memburu رحمة Allah.
Sebabnya macam ni. Kan saya kata رحمة itu pemberian tanpa syarat.
Bila disebut amalan sekian ganjaran sekian, seolah syarat untuk pahala sekian bila kita buat amalan sekian. Nampak tak, ada syarat... Syaratnya adalah buat amalan sekian baru dapat pahala sekian.
Bila رحمة, tanpa syarat.
Pernah kan kita dengar kisah yang orang tu seumur hidup dia dosa je yang dilakukan. Tapi ada satu perkara kecil yang dia buat, seolah-olah hilang semua dosa dia, Allah masukkan dia ke dalam syurga.
Nampak tak... ganjaran yang dia dapat macam tak sesuai dengan syarat ganjaran. Tu la dia pemberian tanpa syarat.
Surah al-Furqan ayat 70
إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا
"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amalan yang baik"
فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ
"Maka orang-orang itu Allah akan menggantikan (tukar ganti) kejahatan mereka dengan kebaikan"
Itu antara رحمة Allah yang mana Allah tukarkan segunung dosanya menjadi segunung pahala.
Banyak kisah macam tu yang kita dengar. Bayangkan untuk orang lain dia perlu susah payah beramal untuk segunung pahala. Tapi ada juga masih sikit-sikit dosanya.
Tapi orang yang benar-benar bertaubat ni, Allah tukarkan kesemua dosanya menjadi pahala. Lagi best dari orang yang beramal tadi sebab dosanya masih ada sikit-sikit sedang dosa dia sudah Allah tukarkan menjadi pahala.
Sebab tu bagi yang faham, mereka beramal bukan mengejar pahala, tapi mengejar رحمة Allah.
Sebab dengan رحمة Allah, Allah akan bagi apa-apa yang kalau diikutkan seperti tak sesuai dengan syarat ganjaran.
Itulah رحمة Allah, pemberian dari Allah tanpa syarat.
Memang Allah ada senaraikan syarat-syarat untuk sekian-sekian ganjaran. Tapi best lagi bila kita dapat ganjaran itu tanpa perlu sebarang syarat.
Itulah رحمة Allah
KISAH SINGA, MONYET DAN PASANGANNYA
2 weeks ago
2 comments
Makin Tak faham
Ulasan berbelit2...cubalah bagi sebijik sebijik supaya clear kpd org mcm saya yg merangkak2 nih
Post a Comment